
MANGSA BANJIR LD LEGA TERIMA WANG IHSAN
9/25/2025
LAHAD DATU, 24 September 2025 – Seramai 306 ketua isi rumah yang terjejas akibat banjir baru-baru ini boleh menarik nafas lega selepas mereka menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM1,000 dalam satu majlis ringkas di AVTC pagi tadi.
Majlis penyerahan disempurnakan oleh Ketua Penolong Setiausaha Kanan, Puan Haryani Anah Binti Abdul Kahar, yang mewakili Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri & Penyelidikan Sabah, Datuk Ag Shaminan.
Ketika ditemui, Puan Haryani berkata, penyaluran bantuan tersebut membuktikan keprihatinan berterusan kerajaan terhadap rakyat yang ditimpa musibah.
"Ini adalah bukti jelas bahawa kerajaan sentiasa cakna dan tidak akan membiarkan rakyat bersendirian dalam menghadapi waktu sukar seperti ini. Bantuan yang disalurkan hari ini adalah manifestasi keprihatinan kerajaan untuk membantu meringankan beban mangsa," katanya.
Beliau turut menambah, "Walaupun jumlah RM1,000 ini mungkin tidak dapat menggantikan sepenuhnya kerugian harta benda yang dialami, kami berharap ia dapat digunakan untuk membeli barangan keperluan mendesak dan memberi sedikit kelegaan kewangan kepada keluarga yang terjejas."
Sementara itu, Pegawai Daerah Lahad Datu yang juga , Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah, Tuan Firuz Ben Mohd Dzul dalam ucapannya memberi jaminan bahawa pihaknya akan sentiasa mengutamakan kebajikan mangsa.
"Selaku pengerusi bencana, menjadi tanggungjawab utama saya untuk memastikan kebajikan setiap mangsa terjamin. Ini bukan sahaja merangkumi penyediaan tempat perlindungan dan makanan yang selesa di PPS, tetapi juga memastikan bantuan pasca-bencana seperti BWI ini sampai kepada mereka yang layak secepat mungkin," tegasnya.
Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama antara agensi dalam pengurusan bencana yang cekap.
"Saya sentiasa mengadakan perbincangan dengan jabatan-jabatan berkaitan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, Angkatan Pertahanan Awam dan lain-lain untuk melihat persiapan dari masa ke semasa. Koordinasi yang mantap ini penting bagi memastikan kita sentiasa bersedia dan dapat bertindak dengan pantas dan berkesan pada masa hadapan," tambah beliau.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah YBhg Datuk Mizma Appehdullah, PPM Segama, Tuan Harun Batarasa PPM Silam, Hj Momen PPM tungku, Tuan ADO Hery Awit dan Peg. Kebajikan Masyarakat Daerah Lahad Datu, Encik Shairol Hj Sari.
Kesemua penerima merupakan mangsa yang sebelum ini ditempatkan di tiga buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Terusan, Pusat Latihan Vokasional Pertanian (AVTC) dan Kolej Vokasional Lahad Datu akibat banjir besar yang berlaku di daerah ini pada awal tahun ini.


Firuz dan Shairol meninjau persiapan dan persediaan sebelum majlis berlangsung




Haryani menyampaikan wang ihsan kepada salah seorang KIR yang menjadi mangsa banjir




Antara penerima bantuan yang hadir