PENGHAYATAN AL-QURAN BANTU BENTUK MASYARAKAT HARMONI DAN CINTAKAN KEDAMAIAN

1/23/2025

LAHAD DATU, 22 Januari 2024 –(LDinsider) Pegawai Daerah Lahad Datu, Tuan Firuz Idzualdeen@Benetty Mohd Dzul berharap agar masyarakat terus sama-sama mendalami dan menghayati isi kandungan dan mesej dalam kitab suci Al-Quran kerana ia membantu dalam membentuk masyarakat yang saling menghormati, hidup dalam kebersamaan, dan mengutamakan kedamaian dalam kehidupan seharian.
“Penghayatan terhadap Al-Quran bukan hanya tertumpu pada membaca atau menghafalnya semata-mata, tetapi lebih kepada memahami isi kandungannya dan mengaplikasikan ajaran-ajarannya dalam kehidupan seharian” ulasnya, ketika ditemubual selepas merasmikan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Lahad Datu yang berlamgsung di Masjid Ar-Raudhah malam tadi.
Tambah beliau, Penghayatan Al-Qur'an sebagai teras kehidupan akan menjadikan individu lebih menghargai kepentingan membina hubungan yang baik dengan sesama manusia, tanpa mengira agama, bangsa, atau latar belakang.
“Matlamat utama majlis ini adalah untuk memperkukuh kecintaan kita terhadap Al-Qur'an. Selain sebagai pentas pertandingan, ia juga sebagai peringatan kepada umat Islam bahawa Al-Qur'an adalah panduan utama yang dapat membawa kita ke jalan yang benar dan diredhai,” katanya.
Mengulas mengenai pemilihan Masjid sebagai lokasi pelaksanaan program kali ini beliau berkata bahawa ia merupakan satu Langkah yang baik kerana ia dapat membantu dalam mengimarahkan dan menarik lebih ramai masyarakat untuk datang ke masjid. 
(Seorang peserta qariah sedang memperdengarkan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran pilihannya) 
Bagi Johan kategori Qari, saudara Sukiman Lasulu (43) beliau merakamkan rasa kesyukuran atas pengiktirafan tersebut dan akan cuba memperbaiki beberapa kelemahan untuk persediaan ke pertandingan seterusnya.
“Saya berazam memperbaiki teknik bacaan, penghayatan, serta persiapan diri secara mental dan rohani dan semoga saya dapat membawa nama Lahad Datu ke peringkat yang lebih tinggi” katanya.
Sementara itu, Johan kategori Qariah, adik Ranggina Mariam Binti Mustari menganggap bahawa Kemenangan itu bukan hanya milik beliau tetapi juga hadiah untuk keluarga dan guru yang banyak membimbingnya.

- Firuz menyampaikan hadiah dan sijil kepada Sukiman selaku Johan Qari

- Adik Ranggina Mariam, Johan Qariah -

Dianggarkan seramai 300 orang hadir dalam majlis tilawah malam tadi dengan menyaksikan lima orang peserta qari dan qariah bertanding dipusingan akhir. Pemenang Qari dan Qariah akan bertanding ke Peringkat Bahagian Tawau yang dijadualkan pada 5 Februari 2025. Turut hadir dalam majlis tersebut ialah YDH ACP Dzulbaharin Ismail, Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Ustaz Nordin Nahanak, Pegawai Tadbir Agama JHEAINS, Tuan Hj. Sari Bin Arshad, Pengerusi Masjid Ar-Raudhah dan beberapa orang wakil ketua jabatan.

- BERITA & PELAPORAN OLEH | GBUMS LDinsider -