"TERUSKAN BERTANDING, BERJUANG, ZAMAN SEKARANG BANYAK AI" - RAKAMAN SUARA CALON PH SILAM TULAR, TIMBULKAN TANDA TANYA ISU PENARIKAN DIRI

11/17/2025

LAHAD DATU, 17 November 2025 – Episod "konflik" antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) di Dewan Undangan Negeri (DUN) N62 Silam yang sepatutnya berakhir petang semalam, mungkin bertukar menjadi krisis kepercayaan yang lebih parah dan berlapis. Ketika pimpinan tertinggi kedua-dua gabungan cuba "memadamkan api" yang dicetuskan PH, satu rakaman suara sensasi yang didakwa milik calon PH, Abdul Halim Sidek Gulam Hassan, tular dan mendedahkan bahawa 'pengunduran' beliau mungkin satu paksaan yang ditolak mentah-mentah oleh calon itu sendiri.

Rakaman suara berdurasi 6 saat itu, yang dikatakan dihantar melalui aplikasi WhatsApp dalam sebuah grup penyokong calon PH, tersebar pantas lewat petang semalam Dalam audio ringkas itu, suara yang didakwa milik Abdul Halim kedengaran memberi mesej yang agak tersirat: "Teruskan bertanding berjuang, zaman sekarang banyak AI."

Mesej ringkas tetapi padat itu serta-merta mencetuskan tanda tanya besar di kalangan jentera parti di peringkat akar umbi. Ia seolah-olah memberi isyarat bahawa perjuangan belum berakhir dan notis pengumuman penarikan dirinya mungkin "direka" atau "palsu" — satu tafsiran yang merujuk kepada penggunaan istilah "AI".

Spekulasi ini diperkuatkan lagi dengan fakta bahawa Abdul Halim sendiri tidak hadir dalam sesi sidang media yang mengumumkan penarikan dirinya petang semalam. Kejanggalan ini memberi gambaran jelas bahawa pengunduran diri itu bukan dibuat atas "kehendak calon" atau "keputusan peribadi" seperti yang dibingkai secara rasmi, tetapi adalah arahan daripada pimpinan tertinggi parti.

Bagi seorang pemerhati politik, jika benar pengunduran ini satu paksaan, ia bukan membaiki keadaan tetapi merumitkan lagi perjuangan kedua-dua parti dan mendedahkan kerapuhan serius dalam pakatan itu. Di atas kertas, PH menarik diri untuk 'menjaga hubungan baik' dengan GRS. Tetapi di bawah, calon PH sendiri rasa dikhianati oleh partinya dan kini mungkin menggalakkan sabotaj senyap, Krisis 48 jam ini bermula pada Hari Penamaan Calon apabila PH meletakkan Abdul Halim untuk bertembung secara langsung dengan rakan sekutunya, Datuk Mizma Appehdullah dari GRS, dalam pertembungan tiga penjuru yang turut melibatkan BN

Tindakan PH itu mencetuskan kemarahan GRS. Datuk Mizma sebelum ini mendedahkan rasa "terkejut" dan "dikhianati", serta mengesahkan bahawa tindakan PH telah menimbulkan "kekeliruan" dan "rasa tidak selesa" di peringkat akar umbi. Lebih parah, Mizma mendedahkan bahawa jentera GRS kini ragu-ragu untuk membantu calon PH di DUN jiran, N61 Segama, kerana "kerjasama sudah dilanggar."

Walaupun penarikan diri Abdul Halim sepatutnya menyejukkan keadaan—dengan Mizma dilaporkan berkata "kita anggap PH telah memenuhi janji kerjasama GRS-PH"—rakaman audio terbaru ini menunjukkan sebaliknya. Ia membuktikan wujud konflik dalaman yang serius dalam PH. Rasa tidak puas hati calon yang dipaksa berundur itu kini berisiko tinggi untuk diterjemahkan kepada "pengkhianatan", di mana jentera PH Silam mungkin secara senyap tidak akan menyokong calon GRS, sekaligus memecahkan undi dan memberi kelebihan kepada calon lawan.

Situasi di P188 Lahad Datu kini ibarat 'retak menanti belah'—GRS yang sudah 'berparut' kepercayaannya terhadap PH, kini berdepan pula dengan kemungkinan "pemberontakan dalaman" daripada sekutu mereka sendiri.

Apapun kesudahannya, sama- sama kita pantau dan saksikan. Kita doakan semoga Lahad Datu diwakili pemimpin-pemimpin yang berkaliber. - TintaPrihatin